BRIGHTON – Nampaknya penyerang baharu Chelsea, Timo Werner mula terasa bahang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu pasukan itu menang 3-1 ke atas Brighton pada aksi yang berlangsung di Stadium Amex awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Jerman itu mengakui dia berdepan kesukaran sepanjang perlawanan apabila perlu mengatasi barisan pertahanan kental pasukan tuan rumah.
Tambah Werner, dia langsung tidak menjangka akan berdepan barisan pertahanan yang cukup agresif, berbeza dengan apa yang dihadapi ketika beraksi dalam Bundesliga.
“Saingan Liga Perdana Inggeris sangat berbeza dengan bola sepak di negara lain kerana pemain-pemain pertahanan di sini sangat tinggi, besar dan agresif.
“Bagaimanapun, saya akui sangat gembira beraksi di sini kerana corak permainannya lebih pantas dan menarik. Mungkin saya perlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri,” kata Werner.
Pada masa sama, bekas pemain RB Leipzig itu berkata, dia perlu bijak mencari ruang sekiranya mahu menjadi salah seorang pemain terbaik dalam Liga Perdana.
“Berhubung perlawanan pada malam ini (semalam), saya berpuas hati dengan aksi sendiri kerana banyak lakukan larian bagi membantu pasukan. Di England, anda perlu bijak mencari ruang,” ujarnya. – AGENSI