MISANO – Pelumba pasukan Pramac Racing, Francesco Bagnaia mengakui teknik membrek jentera yang semakin baik membantunya untuk menaiki podium pada perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano Ahad lalu.
Bagnaia yang baru sahaja pulih daripada kecederaan patah kaki menampilkan tunggangan mantap bagi membolehkan dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Pelumba kelahiran Itali itu mengakui teknik brek yang diguna pakai memberi kelebihan kepadanya bagi mengatasi pelumba dari pada pasukan-pasukan lain.
“Sejak awal musim lagi saya sudah sebati dengan jentera ini, namun prestasi semakin meningkat selepas menemui teknik brek yang lebih berkesan.
“Bagi saya, teknik ini membuatkan saya miliki kelebihan ke atas pelumba-pelumba pasukan lain terutamanya Yamaha, Suzuki dan KTM. Saya sangat gembira kerana teknik brek adalah kelemahan saya sebelum ini,” kata Bagnaia.
Sementara itu, dia juga tidak menjangka mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan podium memandangkan hanya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 teratas pada GP San Marino.
“Sebenarnya saya langsung tidak fikir mengenai podium, lebih-lebih lagi kaki masih sakit ketika perlumbaan berbaki empat pusingan. Bagaimanapun, saya gembira kerana mampu dapatkan podium pertama,” ujarnya. – AGENSI