KUALA LUMPUR – Pelakon Nadia Brian memohon diberikan ruang dan privasi berhubung kemelut rumah tangganya bersama Muizz Nasruddin yang didakwa sedang berantakan.
Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi Brian, 29, berkata, buat masa ini, dia enggan memberi sebarang komen kerana bimbang akan mengeruhkan lagi situasi rumit yang sedang dihadapi bersama suaminya.
“Saya anggap semua (masalah) ini ujian daripada Allah. Saya sedang laluinya.
“Beri saya ruang dan kalau sudah sampai masa nanti, semuanya akan saya dan dia (suami) kongsikan. Kalau boleh, saya tidak mahu terlalu bercerita hal peribadi kepada umum,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam
Pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu mengharapkan doa daripada orang ramai agar semua urusan berkaitan rumah tangganya dipermudahkan.
“Insya-Allah semua akan okey, cuma saya mengharapkan semua orang mendoakan yang baik-baik untuk kami berdua.
“Buat masa sekarang, semuanya okey sahaja. Alhamdulillah,” katanya yang berkahwin dengan Muizz pada 9 November lalu.
Beberapa perkongsian terkini dalam Instagram Nadia membayangkan pergolakan rumah tangga yang dihadapi Nadia masih belum menemui penyelesaian.
“Not easy (sukar),” tulis Nadia pada sekeping gambarnya yang dimuat naik di Instagramnya dua hari lalu.
Pada Ogos lalu, timbul desas-desus rumah tangga pasangan tersebut kini di ambang perceraian apabila Nadia sering berkongsi hantaran Instastory yang memberi bayangan dirinya seakan berstatus solo.
Dalam pada itu, ruangan komen Instagram Muizz dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada netizen agar lelaki itu kuat berdepan dengan kemelut rumah tangga yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.