fbpx

Saingan penyanyi bertopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOPENG ayam jantan menjadi antara kostum The Masked Singer Malaysia.

SERAMAI 12 peserta misteri bakal beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri menerusi program terbitan terbaharu Astro, The Masked Singer Malaysia.

The Masked Singer Malaysia hadir sebagai pertandingan nyanyian berkonsep misteri menampilkan peserta yang terdiri barisan selebriti popular daripada pelbagai cabang karier seperti nyanyian, lakonan, muzik, pengacaraan dan sukan.

Identiti peserta The Masked Singer Malaysia akan dirahsiakan sehingga mereka disingkirkan dan peserta yang tidak berjaya diteka oleh juri akan diumumkan sebagai juara pada episod kelapan.

AZLIN (empat dari kiri) bersama barisan juri tetap dan pengacara yang menyerikan The Masked Singer Malaysia.

Bagi musim pertama ini, seramai sembilan figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap.

Antara nama besar yang menjadi barisan juri ialah Datuk Aznil Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin dan Nabila Huda.

Menurut, Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, keputusan untuk mengadaptasi program popular dari Korea Selatan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama seperti kehendak penonton.

Katanya, penonton di Malaysia sentiasa menginginkan kandungan segar, penuh variasi dan memiliki keunikan seperti program berkenaan.

TOPENG Reno antara yang akan menjadi aksesori wajib dalam The Masked Singer Malaysia.

“Menariknya, kami menyuntik elemen lokal dalam pelbagai sudut.

“Perkara itu ketara dapat dilihat melalui kostum-kostum yang dihasilkan dan diperagakan oleh para peserta. 

“Semuanya diinspirasikan daripada budaya negara kita sendiri. 

“Biarpun pernah diterbitkan di beberapa negara, tidak sedikit pun membantutkan usaha kami membawa program ini ke Malaysia untuk disajikan kepada penonton tempatan, khususnya pelanggan Astro,” katanya pada majlis pengumuman The Masked Singer Malaysia baru-baru ini.

Tambah Azlin, konsert mingguan yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam akan diadakan pada skala yang lebih kecil melibatkan kehadiran jumlah penonton yang jauh lebih sedikit berbanding program sebelum ini.

“Itu antara usaha Astro dalam mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi pandemik Covid-19,” ujarnya.

Berbicara lanjut, Astro turut berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan pereka kostum terkemuka, Akma Suriati Awang bagi menghasilkan pelbagai jenis kostum untuk rancangan tersebut.

“Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Akma Suriati Awang yang sudi menyarungkan jersi pereka kostum bagi musim pertama The Masked Singer Malaysia ini.

“Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri fesyen, teater dan filem. 

“Jadi, kami amat teruja untuk melihat reaksi audiens terhadap ciptaan-ciptaan kreatif beliau,” ujarnya.

Salah seorang juri yang juga pelakon, Nabila Huda mengakui sangat berbangga kerana dipilih sebagai seorang juri bagi rancangan popular tersebut.

“Sangat bangga dan seronok kerana terpilih dan dapat duduk sebaris dengan artis-artis hebat yang lain seperti Aznil, Raja Azura dan Zizan.

“Selalunya kriteria juri dipilih atas sebab pengalaman, pencapaian dan sumbangan besar kepada industri seni tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Ella menyifatkan tugasnya sebagai juri sangat mencabar kerana perlu membuat sedikit ‘kerja rumah’ mengenai mana-mana selebriti untuk memudahkannya meneka siapa individu di sebalik kostum yang dipamerkan.

“Tugas juri memerlukan saya untuk bermain dengan otak, berfikir dan meneka siapa mereka. 

“Memang sukar, ditambah pula dengan kekecohan juri-juri lain.

“Bagi saya, The Masked Singer Malaysia merupakan sebuah rancangan wajib tonton oleh semua rakyat Malaysia kerana menjanjikan kelainan berbanding program televisyen lain,” ujarnya.

Menariknya, terdapat 12 kostum unik yang diberi nama Musang King, Nasi Lemak, Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, ABC, Enggang, Ayam Jantan, Reno, Rimau, Rafflesia dan Bunga Raya yang akan dipakai setiap peserta sepanjang pertandingan.

Bakal bersiaran pada 18 September setiap Jumaat pukul 9 malam menerusi Astro Warna, program berkenaan dihoskan pengacara tersohor, Datuk AC Mizal.

Pengacara Elly Ariffin bersama Izzue Islam pula akan akan bersiaran dalam segmen Live+ menerusi YouTube.

The Masked Singer musim pertama menampilkan SK Magic dan OPPO sebagai penaja utama.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI