Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Seorang anggota sukarelawan Polis (PVR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang cedera selepas dirempuh penunggang motosikal yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya di sini tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa cedera akibat rempuhan itu dan suspek cuba melarikan diri.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kluang sedang membuat operasi Op Motosikal di Jalan Hashim, Kluang.
“Pada 11 malam sebuah motosikal membuat pusingan U untuk melarikan diri dari sekatan jalan raya tersebut.
“Dalam cubaan melarikan diri telah melanggar seorang anggota sukarelawan Polis (PVR) IPD Kluang yang terlibat di dalam operasi tersebut.
“Akibat rempuhan itu kedua mangsa dan suspek terjatuh dan suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Razak berkata, anggota yang cedera dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan dirawat akibat kecederaan luka berjahit di bahagian kepala serta dilaporkan stabil.
Beliau berkata, suspek berusia 20 tahun berjaya ditangkap tidak lama selepas kejadian untuk siasatan lanjut selain turut mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan kanan.-K! ONLINE
Habis//