HONG KONG – Sekumpulan perompak melarikan satu koleksi setem dan kaligrafi bernilai lebih AS$500 juta (RM2.06 bilion) pada waktu siang, menurut satu sumber polis sebentar tadi.
Kumpulan pencuri itu memecah masuk ke dalam satu pangsapuri milik seorang pengumpul warga China, Fu Chunxiao di sebuah bandar di daerah Kowloon.
Mereka mengambil masa selama dua jam untuk melakukan jenayah itu, menurut sumber kepada agensi berita AFP.
Menurut laporan akhbar South China Morning Post (SCMP), barangan yang dicuri bernilai HK$4 bilion (RM2.13 bilion) termasuk kaligrafi oleh Pengerusi Mao Zedong, lima keping setem antik bernilai tinggi dan barangan revolusi dari Tanah Besar China.
Fu, seorang anggota Persatuan Filateli Hong Kong berada di Tanah Besar China semasa insiden pecah masuk berlaku pada Khamis, 10 September lalu, kata sumber polis.
Kumpulan pencuri itu berjalan masuk ke dalam bangunan kediaman setinggi 16 tingkat, membuka pagar besi dan memecahkan pintu kayu sebelum masuk ke dalam unit pangsapuri itu lalu melarikan barangan berharga itu.
SCMP memetik satu sumber yang menyatakan nilai barang yang dicuri diketahui selepas anak perempuan Fu tiba di Hong Kong untuk membantu siasatan polis.
Barangan berharga itu diambil daripada satu laci berkunci di dalam pangsapuri itu, menurut sumber kepada akhbar itu. – AFP