KUALA LUMPUR – Tindakan pemilik dua ekor anjing yang meletakkan haiwan peliharaan mereka di sangkar yang kecil serta terdedah kepada keadaan cuaca mengundang pelbagai reaksi netizen di laman sosial.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di East Ledang, Johor Bahru dan gambar memaparkan keadaan haiwan terbabit telah dimuat naik di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) malah telah dikongsi kira-kira 534 pengguna.
Menurut Animal Malaysia, tindakan pemilik menempatkan anjing besar dalam sangkar bersaiz kecil tidak sesuai, apatah lagi terdedah terik panas matahari dan risiko tempias hujan.
“Pemilik mungkin tidak sedar akan kewujudan peraturan yang mengaris panduan ukuran sangkar atau rumah haiwan tertentu.
“Kecuaian begini boleh ditambah baik dengan menasihati pemilik atau jika pemilik degil dan masih ingkar adukan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia supaya tindakan penambahbaikan boleh dilakukan segera,”katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sementara itu,seorang pengguna Facebook, Zainah Baharom, sangat terkilan dengan perbuatan pemilik anjing tersebut dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
“Diharap pihak yang berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya demi mencegah penganiyaan terhadap binatang tersebut.
Senada dengan Zainah, seorang lagi pengguna, Shantin Dass, yang turut marah dengan tindakan pemilik anjing terbabit.
“Pemilik ini tidak layak bela anjing, tolong ambil tindakan segera. Anjing (husky) itu duduk dalam aircond bukan luar rumah berpanas dan hujan.-K! ONLINE