Oleh SHAARANI ISMAIL
PARIT – Galeri Nasaruddin Rais, seorang tokoh pejuang kemerdekaan dari Perak Tengah akan diketengahkan sebagai satu daripada produk pelancongan warisan Perak Tengah yang ketika ini sedang dibangunkan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohammed berkata, Nasaruddin Rais adalah seorang pejuang kemerdekaan yang berasal dari Kampung Padang Tenggala, Bota agak kurang diketengahkan dan dikenali.
“Keadaan rumah lama kediaman beliau di sini masih elok dengan keadaan dan reka bentuk yang menarik, mungkin satu sudut atau rumah di rumah dijadikan galeri dan seterusnya menjadi produk pelancongan warisan di Perak Tengah.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak, kita akan dapat jayakan galeri ini dengan lebih baik khususnya selepas mendapat kerjasama yang baik daripada keluarga dan warisnya.
“Setakat ini waris dan keluarga menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dan menjayakan pengisian bagi mengisi slot pelancongan warisan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Konvoi Pelancongan Warisan Perak Tengah dan Majlis Memperingati Tokoh Kemerdekaan Nasaruddin Rais, di rumah warisan keluarganya di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-Grow), Nordin Malek.
Khairul Shahril berkata, peranan Nasaruddin sebagai pejuang kemerdekaan, Nasaruddin kurang dikenali kerana Allahyarham meninggal dunia pada usia 39 tahun dalam nahas kapal terbang ketika dalam perjalanan mewakili Malaysia pada persidangan getah di London pada 1953.
Dalam pada itu katanya, pihaknya yakin dengan kerjasama i-GROW dan beberapa agensi lain termasuk Tourism Malaysia segmen pelancongan warisan Perak Tengah dapat direalisasikan dengan sebaiknya.
“Kita yakin dengan perancangan yang ada dan sedia bekerjasama dengan i-GROW dan pentadbiran kerajaan negeri kerana Perak Tengah ada banyak produk khususnya dalam pelancongan warisan untuk diketengahkan.
“Kita ada Galeri Melayu di Pulau Misa, i-GROW, kawasan sejarah kesultanan awal Perak di Lambor, makanan tradisi dan sebagainya yang mampu menjadi produk pelancongan yang cukup hebat,” katanya.
Sementara itu, Nordin berkata pihaknya yakin produk pelancongan warisan Perak Tengah akan dapat diketengahkan dengan lebih baik dan digerakkan dengan lebih serius.
Katanya, dalam keadaan kita menumpukan aspek pelancongan domestik, pelancong tempatan lebih gemar untuk mencari lokasi tempat makan yang menarik, makanan yang unik serta membeli belah produk keluaran tempatan dengan santai.
“Dengan kedudukan Perak Tengah yang cukup strategik antara Ipoh dan Lumut serta limpahan dari kedudukan Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai inisiatif pelancongan warisan itu diyakini mampu dilaksanakan dengan baik,” katanya.