Oleh NIK NUR IZZATI HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Empat premis awam di Terengganu bakal dilengkapi dengan Taska Permata Keluarga bagi kemudahan penjawat awam di negeri tersebut pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, taska terbabit itu akan dibuka di
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Besut dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah serta Jabatan Kerja Raya negeri di Kuala Terengganu.
“Kita telah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk diubahsuai menjadi Taska Permata Keluarga di setiap premis awam berkenaan
“Kerajaan negeri Terengganu telah memperuntukkan kira-kira RM200,000 bagi pembinaan setiap taska terbabit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Taska Permata Keluarga Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.
Hanafiah berkata, setakat ini, sebanyak 68 Taska Permata Keluarga telah dibina di lokasi-lokasi strategik di seluruh Terengganu.
Beliau berkata, pembukaan taska berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri Terengganu untuk memastikan kebajikan anak-anak pasangan yang bekerja di negeri tersebut terjaga.
Dalam perkembangan lain, Hanafiah memberitahu Tabung Darul Iman (TDI) membelanjakan lebih RM9 juta setahun untuk membantu rakyat negeri itu yang ditimpa musibah dan penyakit kronik. – K! ONLINE