Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka dan farmasi di Bukit Jambul, Sungai Nibong di sini terpaksa menahan kesakitan hampir 10 minit selepas dua jari kirinya tersepit pada pintu kaca premis itu hari ini.
Mangsa wanita berusia 23 tahun sebelum itu dikatakan sedang melakukan kerja berhampiran pintu utama di hadapan premis berkenaan kira-kira pukul 1 petang.
Sebelum kejadian, dia dipercayai meletakkan dua jarinya iaitu telunjuk dan tengah di celah pintu terbabit yang ketika itu berada dalam keadaan terbuka dan tersepit sebaik pintu ditutup.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.10 petang dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian mendapati mangsa dalam keadaan menahan kesakitan akibat dua jari kirinya yang tersepit dan tindakan anggota dengan membuka skru pada bahagian bawah pintu kaca.
“Jari mangsa berjaya dikeluarkan 10 minit kemudian dan kita tidak sama ada patah mahupun hanya mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya telah memberi rawatan kepada mangsa tersebut sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang menggunakan kenderaan bomba.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.18 petang. – K! ONLINE