SEJAK ditubuhkan pada tahun 2015, jenama FERN Batik terus mengorak langkah untuk merealisasikan matlamatnya iaitu mengangkat seni tradisional batik berekaan kontemporari dan gaya mewah ke persada dunia.
Jenama yang diasaskan oleh Fern Chua itu sentiasa giat mengetengahkan seni batik Malaysia di dalam dan luar negara.
Usahanya itu mendapat sambutan yang baik oleh penggemar-penggemar fesyen.
Walaupun sedang melalui detik sukar ekoran pandemik global Covid-19, namun jenama FERN Batik meneruskan usahanya untuk mengukuhkan label batik itu.
Baru-baru ini FERN Batik telah berkolaborasi dengan British Council untuk mengambil bahagian dalam kempen global, Crafting Futures.
Kempen tersebut telah menyatukan para pengamal kraf, pereka batik dan organisasi dari seluruh dunia untuk meneroka kemungkinan dan membina masa depan yang positif dengan menyerlahkan keunikan kraf bagi memberi inspirasi kepada semua orang.
Program itu juga meraikan nilai dan budaya seantero dunia.
Mewakili Malaysia dan seni batik yang indah, FERN Batik adalah salah seorang daripada enam pengusaha kraf dari seluruh dunia yang menyertainya. Lima negara lain yang menyertai Crafting Futures ialah Mexico, Thailand, Filipina, Britain dan Romania.
Program tersebut rancak dijalankan di Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Selatan dan diperluaskan hingga ke Eropah.
“Sebagai jenama yang mewakili Malaysia, kolaborasi ini merupakan satu penghormatan dan pencapaian yang membanggakan. Dengan mengetengahkan seni batik ini, ia menawarkan peluang yang besar untuk mempromosikan budaya dan warisan Malaysia.
“Bagi saya, kesenian batik perlu dipelihara walaupun diberi suntikan moden kerana ia bukan sekadar warisan bahkan bentuk seni yang sangat indah,” katanya.
Akui Fern, program Crafting Futures itu bukan sahaja mengangkat kerjayanya tetapi berpotensi untuk membuka ruang kepada pereka dan penggiat kraf generasi baharu untuk dikenali.
Terkini, FERN Batik melancarkan koleksi santai terbaharunya iaitu siri Maghribi.
Koleksi itu meneroka rekaan abstrak dan rona warna baharu bagi menonjolkan keajaiban Sahara dan corak jubin moor yang indah signatur Maghribi.
Siluet koleksi santai itu direka untuk memberi lebih keriangan dan keselesaan.
Sebagai salah satu usaha suai padan gaya, FERN Batik turut menghasilkan aksesori seperti pelitup muka, pengikat kepala dan beg tote yang diperbuat daripada fabrik batik.
“Di kala pandemik ini, pemakaian menjadi salah satu cara untuk menaikkan mood dan menjadikan hari kita sedikit luar biasa. Kami mahu orang ramai berasa selesa dan relaks, namun pada masa sama masih bergaya tidak kira sewaktu berada di rumah atau semasa keluar rumah untuk membeli-belah barangan keperluan,” ujarnya.