TUSCANY – Juara dunia enam kali, Lewis Hamilton semakin hampir untuk menyamai rekod 91 kemenangan yang dipegang Michael Schumacher (Schumi)selepas memenangi perlumbaan ke-90 pada Grand Prix (GP) Tuscan di Litar Mugello malam kelmarin.
Meskipun diwarnai dengan beberapa insiden kemalangan yang memaksa bendera merah dikibarkan sebanyak dua kali, namun ia tidak mampu menghalang pelumba Britain itu daripada mencatat kemenangan.
Hamilton mengakui perlumbaan itu menjadi satu aksi yang cukup menakjubkan kerana memerlukan dia mengerah segala kudrat bagi menamatkan saingan.
“Perlumbaan yang cukup gila. Saya tidak jangka perlumbaan akan jadi sukar seperti ini kerana ia memerlukan kekuatan mental serta fizikal semua pelumba.
“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Apa yang boleh saya katakan, perlumbaan hari ini (kelmarin) ibarat sedang berlumba untuk tiga saingan dalam masa sehari,” kata Hamilton.
Pada masa sama, dia juga seolah-olah tidak percaya semakin hampir untuk menyamai rekod Schumacher selain berpeluang cerah memenangi kejuaraan dunia ketujuhnya.
“Sukar untuk mempercayai semua ini sedang berlaku. Satu penghormatan kepada saya untuk berada pada kedudukan sekarang serta memiliki sebuah pasukan yang sangat hebat,” ujarnya. – AGENSI