Oleh NOR AINNA HAMZAH
SEREMBAN – Polis memberi amaran kepada semua peminat aktiviti berbasikal di negeri ini untuk tidak menggunakan laluan yang sibuk sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, sewajarnya penunggang basikal menggunakan laluan yang selamat dan menjauhi lalu lintas yang sibuk.
Malah menurutnya, penunggang basikal juga dinasihatkan untuk menggunakan pakaian yang cerah atau putih terutamanya ketika melakukan aktiviti berkenaan pada waktu malam.
“Buat masa ini kita bagi amaran dan berharap agar amaran ini akan diambil serius oleh semua penunggang basikal.
“Malah, sekiranya penunggang basikal berkenaan menunggang dalam keadaan melulu atau merbahaya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 54/42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar tular dua hari lalu yang memaparkan beberapa individu berbasikal menggunakan laluan utama berdekatan Bukit Kepayang menghala ke Bandaraya Seremban.
Perbuatan tersebut mengundang kecaman netizen apabila dilihat boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Malah, terdapat netizen yang menyamakan perbuatan berkenaan dengan aktiviti berbasikal lajak murid dan pelajar sekolah.
Sementara itu, Ibrahim berkata, sekiranya terdapat laluan berbasikal, penunggang basikal harus menggunakan laluan basikal.
Menurutnya, sekiranya menunggang dalam berkumpulan, mereka perlulah menunggang secara deretan agar tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Untuk rekod, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 54/42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penalti maksimum yang boleh dikenakan ke atas sabitan denda ialah sebanyak RM300.
Jika sabitan kali kedua atau kemudiannya, denda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan boleh dikenakan. – K! ONLINE