fbpx

PCB dalam proses penggulungan, bakal gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamidah Osman (tengah) bersama Azrul Suhadi Ahmad (kiri) dan Ros Hanita Ahmad Basiri (kanan) menunjukkan dokumen berkaitan status penggulungan PCB pada sidang akhbar hari ini.

Oleh SHAARANI ISMAIL

IPOH – Perak Corporation Bhd (PCB) anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kini berdepan masalah kewangan yang serius dan mungkin akan gulung tikar dan berdepan muflis.

Perkara itu didedahkan Ketua Penyelaras Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Hamidah Osman.

Hamidah berkata, apa yang menjadi persoalan adalah kenapa kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mendedahkan perkara itu, malah ahli politik pembangkang juga dilihat hanya berdiam diri.

“Dalam status laporan kewangan tahunan PCB terkini yang berakhir 31 Disember 2019, nilai aset yang dimiliki syarikat adalah sebanyak RM742 juta manakala jumlah libiliti adalah sebanyak RM751 juta. Ini bermakna liabiliti kini sudah mengatasi jumlah aset dan kalau syarikat yang dalam situasi begini keadaannya, kita sendiri fahamlah.

“Dalam laporan itu juga menunjukkan jumlah tunai dan baki bank yang dimiliki PCB juga hanya berjumlah RM25,000, dan begitulah keadaan betapa tenatnya keadaan kewangan PCB ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hamidah yang juga bekas EXCO Kerajaan Negeri Perak berkata, keadaan kewangan PCB menjadi meruncing selepas syarikat itu yang bertangungjawab ke atas pengurusan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) membuat pinjaman sebanyak RM520 juta untuk dilaburkan ke dalam taman tema berkenaan.

Katanya, apa yang dipersoalkan adalah mengapa keadaan yang membelenggu PCB yang juga anak syarikat PKNP tidak disentuh dan dibongkar mahupun didedahkan ketika syarikat itu sudah pun dalam status penggulungan.

“Proses membabitkan setiap urusniaga PCB bukan hanya berlaku ketika zaman PH (Pakatan Harapan) memerintah malah ia sudah berlaku ketika kerajaan BN (Barisan Nasional) lagi.

“Akhirnya bagaimana kesalahan urustadbir kerajaan mengakibatkan terlelongnya satu aset besar milik rakyat Perak” katanya.

Hamidah berkata, apabila PCB disytiharkan bangkrap, ia akan menjejaskan pelbagai aset milik kerajaan negeri yang bukan sahaja membabitkan MAPS, tetapi juga hartanah termasuk Hotel Casuarina di Meru yang ketika ini dimiliki PCB.

Katanya, apa yang paling mengecewakan adalah Pelabuhan Lumut yang berpotensi tinggi dan mendatangkan keuntungan turut berdepan risiko dilelong bagi membolehkan PCB membayar segala hutang piutang mereka.

“Jadi saya merayu kepada semua termasuk Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk pastikan ia tidak berlaku, terutama dalam memastikan Pelabuhan Lumut diselamatkan kerana ia bukan sahaja aset yang perlu dijaga tetapi tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan milikan asing,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI