TUMPAT – Pasangan suami isteri memerlukan lebih RM100,000 untuk membiayai kos pembedahan menukar hati anak bongsunya yang kini menghidap penyakit bengkak hati dan tulang reput.
Nur Amanda Qaireen Mat Kholt, yang berusia setahun lima bulan hanya mampu mengesot untuk bergerak selepas menjalani pembedahan membuang hempedu di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada Jun tahun lalu.
Ibunya, Suzilawati Fauzi, 38, berkata, dia terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur kerana tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang dijaga suaminya, Mat Kholt Inoi, 50, sering merengek sehingga badannya menjadi lemah.
Katanya, Nur Amanda kini terpaksa minum susu menggunakan tiub yang dipasang dihidungnya.
“Setiap bulan saya memerlukan RM500 untuk membeli susu, lampin pakai buang dan tiub untuk memasukkan susu.
“Saya kini kehabisan wang dan terpaksa berhutang dengan ahli keluarga untuk membeli keperluan lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, dia mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 3 tahun dan pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,500 sebulan tidak dapat menampung kehidupan dia sekeluarga menyebabkan mereka terpaksa menumpang di rumah ibunya di Kampung Bendang Pak Yong di sini.
Menurut Suzilawati, dia tidak menerima sebarang bantuan meskipun sudah banyak bantuan dipohon.
Katanya, selain rawatan di hospital sebanyak tiga kali sebulan, dia juga membawa anaknya itu berubat secara tradisional selepas mendapat nasihat doktor.
“Saya kini menumpang untuk makan dan minum sahaja di rumah keluarga. Ayah saya juga tidak bekerja kerana menghidap angin ahmar dan kencing manis sejak dua tahun lalu.
“Saya merayu kepada orang ramai sekiranya dapat menyalurkan bantuan untuk kos pembedahan anak saya. Pembedahan ini hanya boleh dilakukan sekiranya mempunyai dana sebanyak RM100,000,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Suzilawati 162339085995 atau hubunginya ditalian 017-9274404.