KUALA LUMPUR – Pelakon Nora Danish berdepan detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki terperangkap dalam kesesakan ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan Tapah – Cameron Highlands.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 pagi, Nora dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke pusat peranginan tersebut untuk menjalani penggambaran sebuah drama berkongsi momen terperangkap selama sejam di laluan Tapah menghala ke pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang selepas berlakunya kejadian tanah runtuh di situ pagi tadi.
Menerusi Insta Storynya, pelakon yang terkenal menerusi filem Aku Terima Nikahnya itu memuat naik beberapa video menunjukkan berlaku kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan beberapa batang pokok tumbang di lereng bukit dan menghalang laluan.
Selepas menunggu lama, dia cuba untuk berpatah balik melalui jalan Simpang Pulai namun nasib tidak menyebelahi apabila jalan di situ turut mengalami kejadian tanah runtuh.
“Pokok lain pula jatuh di sini dan sekarang kami terperangkap di tengah-tengah (jalan).
“Kemudian kami cuba melalui jalan tadi dan alhamdulillah leganya rasa. Abang-abang daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selamatkan keadaan,” tulisnya.
Nora kemudian memuat naik video yang menunjukkan dia sudah selamat sampai ke destinasi dituju dan sedang menjalani penggambaran drama Bougainvillea.
Dia turut menasihatkan peminat yang melalui jalan berkenaan supaya berhati-hati.
“Musim-musim hujan begini, dinasihatkan jangan ikut Tapah, bahaya. Capaian internet susah, jalan sempit, pokok-pokok besar dan gaung lagi,” tulisnya lagi. K! ONLINE