MISANO – Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Franco Morbidelli menegaskan dia tidak menyasarkan gelaran juara dunia pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Meskipun memenangi perlumbaan pertamanya dalam kategori tersebut pada Grand Prix (GP) San Marino kelmarin, namun pelumba Itali itu enggan terlalu mendabik dada selain menyatakan dia hanyalah seorang pelumba pasukan satelit.
Walaupun tidak menjadikan kejuaraan dunia sebagai sasaran utama, namun Morbidelli tetap melaungkan amaran untuk terus menampilkan tunggangan mantap pada perlumbaan seterusnya.
“Saya hanyalah seorang pelumba pasukan satelit, jadi saya tidak jadikannya sebagai sasaran utama. Bagaimanapun, saya tetap seorang pelumba yang bercita-cita tinggi.
“Fokus saya sekarang adalah untuk memenangi perlumbaan serta catat keputusan terbaik. Sama-sama kita tunggu dan lihat senarai kejuaraan pada penghujung musim nanti,” kata Morbidelli.
Mengulas perlumbaan tersebut, bekas juara Moto2 itu mengakui dia berdepan tentangan hebat rakan senegara yang juga pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi pada awal saingan.
“Semuanya berjalan dengan lancar meskipun pada awalnya saya diberikan tentangan sengit oleh Vale (Rossi). Kemudian, saya cuba jarakkan kedudukan pada setiap pusingan dan ia berhasil,” ujarnya. – AGENSI