Oleh NUR ANATI JUHARI
ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia 56 tahun ditemui rentung selepas sebuah rumah di Taman Malek di sini terbakar awal pagi ini.
Tiga ahli keluarga mangsa berusia 52, 17 dan 15 tahun dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.32 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi kita mendapati sebuah rumah kelas B terbakar.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan kemusnahan struktur rumah hampir 90 peratus,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, terdapat seorang mangsa yang ditemui maut.
“Tiga lagi penghuni rumah tersebut terselamat,” ujarnya.
Tambahnya, turut musnah dalam kebakaran adalah dua buah kereta dan sebuah motosikal terbakar hampir 30 peratus. – K! ONLINE