MARAN – Dengan lebih 6,000 Jalur Gemilang dikibarkan di seluruh kawasan selain setiap 292 buah rumah tidak terkecuali mengibarkan bendera Malaysia berjaya menobatkan Jengka 24 sebagai Johan Kategori Kampung Patriotik sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Felda Wilayah Jengka 2020.
Lebih manis lagi penyediaan Jalur Gemilang dibiayai sendiri oleh penduduk dan pemasangan diadakan secara gotong royong melibatkan pelbagai golongan termasuklah golongan muda.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kemenangan julung kali itu adalah hasil usaha keras semua penduduk yang menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
“Pemasangan Jalur Gemilang ini adalah atas pembiayaan sendiri penduduk sehingga menyaksikan ada antara penduduk terpaksa pergi ke Kuantan hanya untuk membeli bendera selepas bekalan bendera di Jerantut dan Temerloh kehabisan.
“Malah apa yang lebih utama ialah semangat patriotisme yang begitu tinggi ditunjukkan penduduk termasuk generasi muda dalam sama-sama memasang bendera di kawasan tanah rancangan dan juga rumah,” katanya pada Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat Felda Wilayah Jengka 2020 di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 22 di sini, hari ini.
Pada majlis itu Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abdul Kadir menyampaikan replika cek wang tunai sebanyak RM1,500 beserta sijil dan trofi kepada Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud.
Dalam pada itu, Afzal berkata, meskipun masih berhadapan dengan wabak Covid-19 dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ia tidak menjejaskan sambutan bulan kemerdekaan yang disambut semua 37 tanah rancangan di Felda Wilayah Jengka.
Katanya, sambutan daripada setiap tanah rancangan pada tahun ini adalah lebih baik berbanding pada tahun lalu meskipun penduduk mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Malah katanya, penduduk juga menunjukkan komitmen yang tinggi apabila semua sumbangan hadiah dalam pertandingan tahun ini disumbangkan sendiri oleh warga peneroka.
“Rancangan-rancangan yang sebelum ini agak perlahan dan tidak berapa rancak aktiviti kita nampak banyak perbezaan yang mana mereka bertungkus lumus untuk menjayakan sambutan dengan semangat Malaysia Prihatin,” ujarnya. – K! ONLINE