LAMA benar kelibat pemilik nama lengkap Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saifuddin tidak terlihat depan mata. Minggu lalu, lelaki yang kini ingin dikenali dengan nama pentas Iq Dinzly itu membuat kemunculan pada semasa pelancaran single Leka, sebuah kolaborasi duo kembar seiras, AishaHanim.
Seperti yang dikenali umum dengan sifat peliknya, Iq dan onar barangkali sukar dipisahkan.
Ketika pelancaran berlangsung, Iq, 38, membuat kejutan apabila mengamuk secara tiba-tiba. Suasana menjadi kecoh, namun rupa-rupanya itu sekadar sebahagian gimik pelancaran yang sudah dirancang.
Tidak cukup dengan gimik, Iq yang kembali ke acara bertindak enggan memalingkan muka ke arah media. Apa sebabnya, hanya Iq yang dapat menjawabnya. Dalam keramaian tetamu, dia juga melakukan sujud syukur selama beberapa minit seraya menumpahkan air mata.
“Saya menangis sebab hari ini (9 September) merupakan hari lahir Allahyarham kakak saya iaitu Iqmal Dinzly Muhammad Saifuddin yang meninggal pada 2003 disebabkan strok haba. Banyak yang sudah berlaku dalam hidup saya, namun saya tetap melangkah.
“Jangan bahasakan saya sebagai artis. Saya lebih suka orang bahasakan saya sebagai anak seni. Sudah cukuplah saya menjadi artis sebelum ini,” ujar Iq.
Mengambil sengkang masa untuk kembali mengatur langkah dalam dunia seni, kata Iq, dia belajar daripada corak media sosial.
Akui Iq, masih ada persepsi negatif masyarakat terhadap dirinya.
Dilontar dengan pelbagai tohmahan, dia bagaimanapun percaya, wujud perkara positif di sebalik ejekan yang bersimbah pada tubuhnya. Tinggal lagi, dia harus melangkah tanpa terlalu memikirkan pandangan orang terhadapnya.
“Memang, saya tetap gila. Saya tidak mahu dengar apa orang cakap. Saya selalu bermain emosi dan kemahuan sendiri. Mungkin itu yang masyarakat tidak boleh hadam. Jadi, jalan pintas yang diambil, mereka kecam dan gelar saya dengan pelbagai label.
“Jangan anggap kemurungan itu sebagai sesuatu yang menyedihkan. Itu adalah ujian Tuhan untuk angkat darjat kita ke tahap lebih tinggi. Percaya dengan percaturan Tuhan,” jelas pelakon yang cukup dikenali menerusi drama Dunia Baru itu.
Mengulas tentang kolaborasinya dengan penyanyi duo, AishaHanim menerusi lagu Leka, Iq sebenarnya bertindak sebagai penyanyi dalam lagu berkonsepkan kerohanian tersebut.
Kesempatan
“Saya sebenarnya sudah lama kenal dengan penyanyi duo ini. Kami bersahabat cukup lama. Jadi mereka berani untuk tawarkan saya peluang.
“Alhamdulillah, mereka tetap percaya dengan bakat dan kemampuan saya. Paling penting, ini antara sebab saya mahu kembali ke dunia seni,” jelasnya.
Bercerita lanjut tentang penglibatan Iq, AishaHanim menafikan mereka menggunakan populariti dan kontroversi Iq sebagai modus operandi untuk segera dikenali ramai. Mereka sendiri enggan dengan mudah memijak harga diri orang untuk cepat popular.
“Tidak ada istilah tumpang populariti sesiapa. Itu bukan cara kami jual produk. Niat kami sekadar mahu bantu dia untuk kembali ke dalam industri. Pada masa sama, kita cuma mempromosikan Leka.
“Iq sebelum ini pernah meluahkan tidak mahu kembali ke industri. Kami rasa sayang, sebab dia anak seni yang berbakat besar. Jadi, kami mahu beri semangat untuk dia bangkit. Itu antara misi kami,” kata Hanim.
Aishah pula menyifatkan persahabatan yang terbina antara mereka memudahkan proses rakaman dan pembikinan video muzik. Akuinya, disiplin Iq cukup tinggi, bahkan tidak membawa sebarang masalah.
“Dia tidak segila yang orang cakap. Mungkin dalam media sosial, dia suka memuat naik video atau gambar yang mengundang rasa jelik atau marah orang, tetapi dalam realiti, dia normal. Seorang lelaki yang ada pendapat dan pandangan tersendiri.
“Kehilangan insan tercinta mungkin antara sebab dia jadi begitu. Tetapi, percayalah bila bab kerja, disiplin dia terbaik. Kami juga selalu beri nasihat dan dorongan untuk dia kembali ke dalam industri,” jelas Aishah.
Bercerita tentang Leka, lagu kerohanian berunsur nasihat itu didedikasikan untuk diri sendiri dan masyarakat.
“Khalayak kini semakin alpa dan leka dengan kehidupan sehingga lupakan Tuhan. Jadi, kita cuba tarik balik pendengar untuk kembali ke landasan sebenar,” jelas penyanyi lagu Angkara yang sebelum ini dijadikan runut bunyi drama Bukan Gadis Biasa yang ditayangkan Ramadan lalu.