PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui jenteranya masih belum berada pada tahap terbaik selepas gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano, Itali kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba berusia 26 tahun itu berada dia posisi terbaik di kedudukan ke-10 sebelum terjatuh ketika saingan berbaki dua pusingan.
Justeru, Hafizh sedia untuk menampilkan aksi lebih baik pada perlumbaan pada GP Emilia Romagna di litar sama hujung minggu ini, lebih-lebih lagi dia sudah mendapat tonik terbaik.
“Pada perlumbaan seterusnya, kami akan gunakan pelarasan berbeza terhadap jentera kerana saya dapat rasakan masih ada sesuatu yang kurang. Harap boleh tampilkan aksi lebih baik nanti.
“Perlumbaan hari ini (kelmarin) bermula dengan agak baik tetapi berdepan sedikit masalah kerana tayar belakang kurang cengkaman sehingga memaksa saya kerah semua tenaga yang ada,” kata Hafizh.
Tanpa berselindung, bekas pelumba Yamaha Tech 3 itu menyuarakan kekecewaannya apabila gagal menamatkan perlumbaan, lebih-lebih lagi berada di posisi terbaik untuk mengutip mata.
“Memang diakui saya sangat kecewa kerana sudah berada di kedudukan ke-10 ketika terjatuh. Saya cuba untuk kekalkan kedudukan, namun inilah adat perlumbaan.
“Saya sentiasa buat yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan hari ini (kelmarin) saya lakukannya demi pasukan serta nenek saya yang baru meninggal dunia,” ujarnya.