SHAH ALAM – Kadar elaun petugas masjid dan surau di Selangor yang dikurangkan akibat penurunan kutipan zakat akan dikembalikan semula kepada kadar sebelum ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menanggung pelarasan tersebut dengan implikasi kewangan berjumlah RM3juta.
Katanya, beliau telah menerima taklimat daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop berhubung isu pelarasan elaun petugas masjid dan surau yang sedang ditularkan.
“Saya difahamkan bahawa elaun tambahan petugas masjid ini yang dibayar bermula tahun 2003
adalah dari hasil kutipan zakat oleh LZS setiap tahun.
“Namun akibat dari kesan pandemik Covid-19, kutipan zakat tahun ini mencatatkan penurunan
drastik hampir 20 peratus yang menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat dengan mengambilkira keperluan menyalurkan hasil kutipan zakat ini kepada golongan asnaf yang tambah dihimpit akibat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan jumlah elaun bulanan yang diberikan kepada ahli jawatan kuasa masjid di seluruh negeri Selangor oleh LZS terpaksa dikurangkan bagi memberikan keutamaan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan di negeri itu.
Surat makluman berhubung perkara itu telah dikeluarkan pada 10 September lalu melalui Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.
Untuk rekod, terdapat sekurang-kurangnya 375 masjid di sekitar Selangor yang berdaftar dengan JAIS dan sebelum ini kesemua masjid tersebut layak menerima peruntukan sebanyak RM1,430 untuk diagihkan kepada lapan ahli jawatan kuasa setiap masjid melibatkan 3,000 inidvidu.
Kadar elaun itu kemudiannya terpaksa dikurangkan kepada RM800. – K!ONLINE