LONDON – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti mempertahankan kemampuan pemain tengahnya, James Rodriguez walaupun berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Rodriguez yang baru dibeli daripada Real Madrid itu, dikritik hebat kerana dia dilihat perlahan dan tidak mempunyai kekuatan fizikal yang sesuai untuk bersaing dalam liga berkompetitif tinggi seperti EPL.
Bagaimanapun, Ancelotti, 61, tidak bimbang mengenai perkara tersebut kerana beliau percaya Rodriguez, 29, memiliki kemampuan tersendiri seperti lima gerakan gol yang diciptanya dalam aksi di Stadium Tottenham Hotspur itu.
“Pemain yang hebat bermain bola sepak seperti Rodriguez tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Dua lagi pemain baharu saya iaitu Allan dan (Abdoulaye) Doucoure juga sama.
“Saya telah membuktikan kualiti mereka kepada anda semua. Kombinasi tiga pemain ini telah memberikan kemenangan kepada saya hari ini (kelmarin).
“Kalau saya mahu pemain yang pantas, lebih baik saya membeli Usain Bolt tetapi adakah dia lebih berbahaya daripada Rodriguez? Jadi, saya tidak bimbang dengan perkara ini,” katanya.
The Toffees berjaya meraih tiga mata menerusi penyerang, Dominic Calvert-Lewin yang menanduk masuk sepakan percuma Lucas Digne pada minit ke-55.
Kemenangan pada aksi pertama menentang lawan kuat seperti Spurs membangkitkan semangat barisan pemain Everton untuk cuba memperbaiki kedudukan ke-12 diraih pasukan itu sewaktu saingan EPL musim lalu. – AGENSI