KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha mendedahkan dia membenarkan anak-anaknya menonton televisyen hanya pada hujung minggu.
Perkara tersebut dikongsi oleh isteri kepada pelakon aksi, Hairul Azreen menerusi soal jawab bersama pengikutnya dalam Instagram Story miliknya.
Menurut Hanis, 30, anak-anaknya hanya dibenarkan menonton televisyen pada hari Sabtu dan Ahad serta mempunyai tempoh yang telah ditetapkan.
“Budak-budak ini hanya dapat menonton televisyen pada hari Sabtu dan Ahad.
“Pukul 6 petang, televisyen sudah ditutup,” katanya.
Menjawab pertanyaan pengikutnya sama ada anak-anaknya tidak bosan kerana tidak menonton televisyen.
Jelas pemilik jenama Cakenis itu, anak kecil tidak mudah berasa bosan jika dibandingkan dengan emosi orang dewasa.
“Sebenarnya anak-anak kecil sangat hebat, imaginasi mereka sangat tinggi. Mereka bukan macam kita mudah tepu dan cepat bosan.
“Kanak-kanak mampu berfikir dengan kreatif dalam suasana yang paling kosong dan dengan barang yang terhad,” jawabnya.
Terdahulu, pelakon filem Gangster Celop itu pernah mendedahkan tidak memberi anaknya menggunakan gajet ketika pada awal usia.
Hanis dan Hairul berkahwin pada 5 Jun 2015. Pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar, 4, dan Alisa Aisyah berusia setahun. K! ONLINE