Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diminta segera campur tangan segera menyelesaikan masalah tuntutan ladang sebahagian 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin berkata, sejak kebelakangan ini berlaku kemelut hubungan antara peneroka dan pihak pengurusan Kesedar.
Katanya, hubungan antara pihak peneroka dan pengurusan Kesedar sudah tidak harmoni apabila tuntutan milik ladang itu masih tidak dapat diselesaikan.
“Tuntutan milik ladang itu dilihat semakin panas apabila berlaku pertengkaran.
“Semalam, 10 peneroka berkumpul di Depan Astaka Paloh 2 untuk menemui saya dan menyatakan desakan dan mengeluarkan kata-kata tidak sedap didengar hingga suasana menjadi panas sebelum saya meredakan keadaan,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Katanya, pihaknya memahami keadaan mendesak peneroka membuat tuntutan itu kerana wang sara hidup RM1,000 sudah tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka.
“Tuntutan milik ladang itu yang ditanam semula pada tahun 2010 sudah mengeluarkan hasil dan mampu untuk menampung belanja mereka.
“Kita berharap KPLB segera campur tangan bagi meredakan masalah yang timbul melibatkan para peneroka,” ujarnya. -K! ONLINE