MUNICH – Bekas prinsipal Ferrari, Jean Todt mengakui juara tujuh kali Formula Satu (F1), Michael Schumacher sedang berjuang bagi mengatasi kecederaan serius yang dialami.
Todt dilaporkan melawat Schumacher di kediamannya minggu lalu dan beliau merupakan salah seorang individu yang mendapat akses untuk melawat pelumba legenda tersebut.
Perkembangan mengenai tahap kesihatan Schumacher yang mengalami kemalangan ketika bermain ski pada 2013 tidak diwar-warkan secara umum bagi menjaga privasi keluarganya.
“Saya pergi melawat Michael (Schumacher) minggu lepas. Dia sedang berjuang bagi mengatasi kecederaan yang dialami. Kita semua tahu dia mengalami kecederaan ketika bermain ski.
“Kecederaan itu menyebabkan dia berdepan banyak masalah, namun dia beruntung kerana masih ada isteri, anak-anak serta jururawat yang setia menjaganya,” kata Todt.
Justeru, beliau berharap semua peminat mendoakan keselamatan Schumacher serta sedia membantu keluarga bekas pelumba itu jika khidmatnya diperlukan.
“Apa yang saya akan buat sekarang adalah terus berhubung dengan keluarga mereka. Jika ada apa-apa yang boleh saya lakukan, saya sedia membantu,” ujarnya. – AGENSI