fbpx

Rupiah Ketua Polis Daerah wanita pertama di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rupiah

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor melakar sejarah baharu hari ini apabila buat pertama kalinya jawatan Ketua Polis Daerah disandang seorang wanita, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid.

Rupiah, 57, menjawat jawatan berkenaan secara rasmi bermula hari ini apabila penyandangnya, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad bersara wajib bermula 17 September ini.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara itu turut dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata, pihaknya yakin Rupiah mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik berbekalkan pengalaman dimiliki.

“Kalau kita tengok kebanyakan pengarah-pengarah agensi perisikan seperti CIA (Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat), kebanyakannya adalah perempuan.

“Jadi, kelebihan perempuan ini adalah mereka seorang yang teliti,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Rupiah pula berkata, pihaknya akan menjalankan tugas bagi memastikan kesejahteraan rakyat khususnya di Johor Bahru terjamin.

“Dalam masa sama, saya akan patuh dan setia kepada Ketua Polis Johor dan mengikut setiap arahan yang diberikan,” katanya yang telah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 1981.

Jawatan terakhirnya sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara itu adalah sebagai Juruiring Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI