fbpx

PRN Sabah indikasi sokongan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Sekarang masuk hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas proses penamaan calon berlangsung Sabtu lalu.

Pastinya, pertembungan gabungan parti-parti Perikatan Nasional (PN) yang akan dikenali Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus memberikan saingan sengit antara satu sama lain memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Meskipun masih berbaki 13 hari kempen, namun ‘taring’ yang dikeluarkan mereka cukup tajam lantaran siapa yang menang, dia­lah pencorak undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam konteks ini, keputusan PRN Sabah yang akan di­umumkan pada 26 September depan dilihat memainkan pe­ranan penting khususnya dalam menterjemahkan sokongan rak­yat terhadap kepimpinan PN dan sekutunya.

Ketika ini, kekuatan PN sebagai sebuah kerajaan masih diragui pembangkang, lebih-­lebih­ lagi dengan laungan sentimen kerajaan pintu belakang dan bukannya dipilih daripada suara rakyat sendiri.

Menurut Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Mar­ta­dha Mohamed, keputusan pilihan raya itu bakal menunjukkan sejauh mana penerimaan PN di Malaysia khususnya Sabah.

“Andai kata, parti pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin dan sekutunya berjaya merampas semula Negeri Di Bawah Bayu, ia memberi baya­ngan positif terhadap kelangsu­ngan jangka hayat PN.

“Secara konsepnya, kejayaan itu tentunya bakal menggembirakan PN seterusnya memberi le­bih keyakinan kepada mereka untuk merangka strategi menje­lang PRU-15,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, keupayaan gabungan parti tersebut merampas semula Sabah turut meningkatkan imej PN di mata masyarakat sekali gus mencerahkan peluang menakluk Putrajaya pada PRU seterusnya.

Jika diimbas semula, majoriti undi sebanyak 10,945 yang dipe­roleh PN ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini seolah-olah memberi bayangan restu rakyat terhadap parti itu.

Jika corak kemenangan sama masih dikekalkan di Sabah, tidak terlalu keterlaluan dikatakan, PN mempunyai peluang cerah menawan hati Malaysia semula dan bukannya disifatkan ‘pintu belakang’ seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, peluang untuk mereka menakluki semula Sabah masih bergantung kepada kemampuan gabungan parti itu untuk berkrompomi dalam menentukan kerusi ditandingi.

“Faktor utama kemenangan mereka ialah semua parti perlu bersependapat dalam meletakkan calon supaya tidak berlaku pertindihan dan memudahkan gerak kerja jentera.

“Jika tiada kesepakatan, ia dilihat sedikit sukar buat PN dan sekutu untuk menawan Sabah ekoran senario politik negeri itu yang bersandarkan kepada ke­utuhan etnik,” jelasnya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, mereka akan menyelesaikan isu membabitkan pertembungan calon selepas solidariti antara parti berjaya dibentuk.

Terdahulu, 11 kerusi dijangka menyaksikan pertembungan calon dalam kalangan PN dan sekutunya selepas semua parti membuat pengumuman calon masing-masing di Kota Kinabalu kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI