KALI terakhir pasukan Scuderia Ferrari menjulang gelaran juara kategori pemandu adalah ketika Kimi Raikkonen melakukannya pada 2007 sebelum muncul juara bagi kategori pengeluar pada 2008 dan selepas itu mereka terus kemarau kejuaraan sehingga kini.
Beberapa langkah telah diambil oleh pasukan yang berpangkalan di Maranello termasuk membawa masuk beberapa orang bekas juara dunia seperti Fernando Alonso dan Sebastian Vettel dengan harapan mampu menjulang kembali nama mereka di persada perlumbaan Formula 1 (F1).
Selepas 12 tahun bersaing, Ferrari masih belum menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka mampu mencabar kejuaraan yang kini didominasi oleh Mercedes sejak 2014.
Kemuncak kegagalan berkenaan adalah pada aksi di Grand Prix Itali yang berlangsung di Litar Monza, Ahad minggu lalu apabila kedua-dua pelumba mereka, Vettel dan Charles Leclerc gagal menamatkan perlumbaan.
Vettel berdepan masalah brek pada pusingan ketujuh, manakala Leclerc terlibat dalam insiden kemalangan ketika berada pada kelajuan tinggi di selekoh ikon Parabolica.
Sejak beberapa tahun lalu, Ferrari gagal menghasilkan jentera yang benar-benar bertenaga untuk mencabar kejuaraan apabila sekadar mampu berada di belakang duo Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas ketinggalan berbelas-belas saat.
Musim ini, jentera SF 1000 bagaikan hilang roh, semangat dan segala-galanya. Semuanya tidak menjadi buat pasukan itu bukan sahaja ketika perlumbaan, malah kegagalan mereka bermula seawal pusingan kelayakan.
Prisipal pasukan itu, Mattia Binotto pernah mendedahkan sebelum ini bahawa jentera mereka berdepan masalah besar disebabkan rekaannya dan sudah menjangkakan situasi seperti ini terjadi.
Rekaan SF1000 mengutamakan daya turun (downforce) dengan harapan mampu menjadikan jentera mereka lebih pantas tetapi tanpa mereka sedar isu lain pula timbul apabila daya seretan (drag) menjadi tinggi sekali gus mengurangkan kuasa kuda jentera mereka.
Bekas Presiden Ferrari, Luca Di Montezemolo mendedahkan bahawa masalah Ferrari bermula pada 2014 ketika perubahan peraturan enjin dengan pengenalan enjin hibrid turbo yang mana pasukan itu langsung tidak bersedia dengan penggunaan teknologi baharu berkenaan.
Ferrari terlalu memandang mudah program pembangunan unit kuasa berkenaan yang sebenarnya sangat kompleks selain ‘budaya’ di Itali berbeza berbanding Jerman yang lebih gemarkan penggunaan enjin hibrid menyebabkan program pembangunan oleh Mercedes lebih ke depan.
Selain itu, salah satu kesilapan yang dilakukan oleh Ferrari sehingga menyebabkan mereka berada dalam kesulitan ketika ini apabila membenarkan pengarah teknikalnya, James Allison meninggalkan mereka dan menyertai Mercedes.
Kesimpulannya, apa yang berlaku kepada Ferrari adalah contoh bagaimana setiap perancangan perlu dilakukan secara jitu kerana tersilap percaturan menyebabkan padah menanti.