fbpx

PCG, PCC SE cadang bina kemudahan oxyalkylates di Kertih, Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) menceburi pasaran oxyalkylates menerusi perjanjian jual beli saham (SSPA) dengan PCC SE untuk memperoleh 50 peratus kepentingan dalam anak syarikatnya, PCC Oxyalkylates Malaysia Sdn. Bhd. (PCC-OM).

Melalui pemilikan tersebut, PCG dan PCC SE bercadang untuk membina kemudahan ox­yalkylates di dalam Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih, Terengganu untuk menghasilkan etoksilat dan poliol polieter.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, pembinaan kemudahan tersebut di­jangka dimulakan pada tahun 2021 sementara pengeluaran dijadualkan bermula pada 2023.

Jelasnya, langkah tersebut merupakan satu lagi kejayaan bagi PCG dalam usaha mengembangkan segmen perniagaan bahan kimia khusus.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan PCC SE, pesaing surfaktan global, dalam usaha pertama memasuki pasaran oxyalkylates kerana pengalaman, kepakaran dan kemam­puan mereka memberikan strategi yang sesuai dengan rancangan pertumbuhan kami.

“PCG akan terus meneroka pelaburan dalam lebih banyak teknologi dan aset yang akan mengembangkan portfolio bahan kimia bernilai tinggi, seterusnya mengekalkan kesinambungan masa hadapan kami,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Oxyalkylates adalah sekumpulan bahan kimia yang terdiri daripada etoksilat, surfaktan bukan ionik, dan poliol polieter, digunakan untuk pembuatan pelbagai termasuk bahan cuci, produk penjagaan rumah dan produk penjagaan diri.

Permintaan bagi bahan kimia tersebut dijangka meningkat terutamanya di kawasan Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Selain itu, Sazali menerangkan, kedua-dua syarikat turut berhasrat menubuhkan pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bersama di PCC-OM bagi memastikan tahap inovasi yang tinggi untuk memenuhi keperluan pelanggan individu.

Selain itu, Pengerusi Lembaga Pentadbiran PCC SE, Waldemar Preussner berkata, penggunaan loji PCG di Kertih adalah sangat sesuai dengan adanya bahan mentah, infrastruktur yang baik serta akses pelabuhan langsung, memastikan pengeluaran dan kos logistik yang kompetitif.

“Projek ini membolehkan kami memanfaatkan pengetahuan se­jak beberapa dekad dalam pengeluaran oxyalkylates di kemudahan kami manakala pusat R&D baharu bagi pelanggan di Asia akan mewujudkan jalan untuk mengembangkan portfolio produk kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI