ALOR SETAR – Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana pemberi sumbangan tidak dibenarkan sama sekali masuk dan membuat agihan kepada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya tidak mahu pergerakan keluar masuk kumpulan itu ke kawasan PKPD mencetuskan jangkitan baharu seperti yang berlaku di Zon Melor dalam kawasan PKPD Amanjaya di Sungai Petani dekat sini.
“Saya ingin menyeru kepada NGO agar tidak masuk sendiri ke kawasan PKPD tanpa kawalan, sebaliknya menyerahkan sumbangan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk diagihkan oleh petugas di situ.
“Ini kerana, saya dimaklumkan apa yang berlaku di Zon Melor adalah kerana ada agensi luar yang masuk sendiri tanpa melalui PKOB sehingga berlaku sedikit pergerakan bebas dalam kalangan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika cek sumbangan daripada ahli dan pemimpin Pas Kedah berjumlah RM63,556 kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd. Asri Redha Abdul Rahman di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Justeru, Muhammad Sanusi meminta semua individu atau NGO yang mahu memberi sumbangan agar menghantarnya ke PKOB di Pejabat Daerah Kota Setar. – K! ONLINE