fbpx

Masjid Kampung Laut dipindahkan ke tapak asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masjid Kampung Laut di Nilam Puri akan dipindahkan ke lokasi asalnya di Kampung Laut, Tumpat.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Masjid Kampung Laut dekat Nilam Puri di sini yang berusia lebih 400 tahun dan diisytiharkan sebagai masjid tertua di negeri ini akan dipindahkan ke lokasi asalnya di Kampung Laut dekat Tumpat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerja-kerja memindahkan masjid itu akan bermula esok dengan anggaran kos pemindahan sebanyak RM2 juta.

“Seramai 100 tenaga pekerja termasuk lapan pakar tukang kayu yang akan meleraikan struktur masjid berkenaan dengan mengambil kira aspek struktur dan komponen.

“Kerja pemindahan itu perlu diteliti supaya keadaan struktur asal berkeadaan baik untuk dicantumkan semula bila sampai di lokasinya di Kampung Laut nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat hajat sempena Pemindahan Bersejarah Masjid Kampung Laut di Nilam Puri di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

Pemindahan itu melibatkan kerjasama kerajaan negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Muzium Kelantan dengan jarak sejauh 22 kilometer dari Nilam Puri ke Kampung Laut.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Masjid Kampung Laut merupakan sebuah warisan masjid yang tertua di negara ini yang masih digunakan sebagai tempat beribadat.

Katanya, masjid tersebut juga dibina tanpa menggunakan paku dan juga merupakan tarikan pelancongan di Kelantan.

“Kita jangkakan masjid itu akan dicantumkan dan siap sepenuhnya pada Januari 2022 dengan keluasan tapak empat hektar.

“Sebelum ini masjid itu dipindahkan dari Kampung Laut ke Nilam Puri berikutan banjir pada 1970 selama 50 tahun selepas tapak asal ditenggelami air akibat banjir pada 1926 dan 1966,” katanya.

Tambahnya, selain pemindahan masjid, ECERDC juga akan membangunkan dua kompleks komersil bersebelahan Masjid Kampung Laut iaitu Laman Warisan dan Laman Seni untuk menarik dan memenuhi keperluan pelancong di kawasan tersebut.

Katanya, pemindahan masjid asal itu kerana juga akan direkodkan oleh Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI