KLANG – Kedai serbaneka yang lengkap dengan menawarkan pelbagai barang basah segar, keperluan rumah dan dapur berkonsepkan lebih mesra pelanggan, bersih, moden, kemas teratur serta memenuhi gaya hidup masyarakat kini, Mak Long Mart mampu memenuhi kriteria tersebut.
Bakal dibuka pada akhir bulan Oktober ini, premis sulung yang terletak di lokasi strategik di Puncak Alam, Selangor itu akan membolehkan pengasasnya, Datin Hasnah Abd. Samad merealisasikan misinya untuk memiliki sebuah kedai serbaneka yang diimpinya sebelum ini.
Lebih menarik, beliau mahu memecahkan monopoli penguasaan usahawan lelaki dalam bidang peruncitan dan pemborongan kerana sehingga kini, belum ada usahawan wanita yang berjaya dalam pengendalian kedai serbaneka.
Hasnah, 46 yang berasal dari Klang, sengaja memilih nama Mak Long sebagai idola untuk di tampilkan dalam penjenamaan cawangan tersebut kerana nama Mak Long begitu sinonim dan dekat dengan sesebuah keluarga Melayu dan juga dengan masyarakat.
“Selalunya, Mak Long akan menjadi tumpuan dan menjadi orang utama yang sentiasa mendengar masalah, penyelesai masalah serta menjadi contoh dan tempat untuk bermanja bagi ahli keluarga.
“Oleh itu, saya mahu konsep itu diterapkan dalam Mak Long Mart dan ia mudah disebut serta bakal menjadi perbualan masyarakat untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan dapur dan rumah. Konsep pusat sehenti yang ditawarkan bakal memenuhi kehendak pelanggan daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Hasnah juga mahu menjadikan kedai serbaneka itu sebagai platform yang memudahkannya menganjurkan aktiviti sosial bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Mak Long Mart yang dibangunkan dengan nilai pelaburan kira-kira RM500,000 itu akan menjadi menjadi pelengkap kepada industri peruncitan di sekitar Puncak Alam meskipun ia terpaksa bersaing dengan pasar raya besar dan kedai serbaneka berjenama popular di situ.
Ditanya mengenai tawaran harga barangan, Hasnah menjelaskan, tidak semua akan dijual lebih murah daripada harga pasaran tetapi ia bergantung kepada promosi yang dijalankan.
“Mak Long tidak dianggap sebagai pesaing kerana kami memiliki keunikannya yang tersendiri dan kumpulan pelanggan masing-masing,” jelasnya.
Tambah beliau, syarikat kini menyusun strategi untuk berkembang dengan pembukaan cawangan kedua di Klang menjelang akhir tahun ini serta membuka 10 rangkaian pada tahun 2021,” ujarnya.