NAPLES, Itali – Ketua jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso menegaskan, Arkadiusz Milik sudah tiada dalam perancangannya untuk menghadapi saingan musim baharu Serie A yang akan bermula minggu depan.
Ia terbukti apabila Milik, 26, digugurkan daripada skuad utama Napoli ketika menewaskan Pescara 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadio San Paolo kelmarin.
“Saya sudah memberitahu perkara ini kepada Milik sejak tahun lepas lagi bahawa dia perlu melanjutkan kontraknya bersama kami. Namun, dia enggan berbuat sedemikian.
“Dia akan berdepan situasi sukar jika dia tidak menemui pasukan baharu kerana kami sudah menandatangani dua penyerang baharu. Ia bermakna dia sudah tiada tempat di sini,” kata Gattuso.
Penyerang Poland itu mempunyai kontrak bersama Napoli sehingga Jun 2021 dan telah menarik minat beberapa kelab seperti AS Roma, Juventus dan Tottenham Hotspur yang berminat untuk menandatangani khidmatnya.
Milik sebelum ini dilaporkan enggan menandatangani kontrak lanjutan dengan Napoli kerana mahu beraksi di bawah bekas jurulatihnya, Maurizio Sarri di Juventus sebelum pengendali itu dipecat bulan lalu.
Ia sekali gus merencatkan perancangan Milik kerana ketua jurulatih baru Juventus, Andrea Pirlo dilaporkan lebih berminat untuk membeli penyerang Roma, Edin Dzeko.
– AGENSI