LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjadi penyelamat buat pasukan itu apabila meledak hatrik ketika menewaskan Leeds United 4-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian kepada pemain antarabangsa Mesir itu apabila dia tenang menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan.
Klopp percaya Salah akan terus menjadi tonggak buat pasukan itu dalam usaha mereka mempertahankan takhta kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.
“Pertama sekali saya ingin ucapkan tahniah kepada Salah kerana dia adalah pemain yang sangat istimewa.
“Gol yang dijaringkan hari ini (semalam) membuktikan kemampuannya.
“Saya tahu dia jaringkan tiga gol pada perlawanan ini tetapi apa yang paling penting adalah aksi keseluruhan ditunjukkan sepanjang perlawanan,” kata Klopp.
Sementara itu, beliau juga mengakui tidak bimbang dengan kerapuhan benteng pertahanan The Reds, lebih-lebih lagi menyaksikan Virgil Van Dijk melakukan beberapa kesilapan.
“Saya tidak nampak benteng pertahanan kami sedang bergelut.
“Mana-mana pasukan mungkin akan bolos berdasarkan aksi yang mereka tampilkan pada perlawanan ini,” ujarnya. – AGENSI