PELAKON dan pelawak, Zizan Razak mendedahkan dia tidak mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Menurut Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, dia lebih risau memikirkan keadaan kesihatan neneknya yang kini sedang terlantar sakit.
“Buat masa ini saya tak fikir langsung tentang kahwin. Saya tiada masalah mengenainya kerana banyak perkara lain perlu saya lakukan ketika ini seperti menjaga mak, sekarang pun nenek sedang sakit.
“Saya bimbang tidak dapat pulang ke kampung jika berlaku apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan produksi,” katanya kepada Kosmo! selepas sidang akhbar The Masked Singer baru-baru ini.
Kata pelakon Polis Evo itu, dia turut berasa terbeban dengan situasi sekarang sehingga memberi kesan emosi kepada dirinya sejak kebelakangan ini.
“Situasi sekarang memang agak membebankan. Sebab itu, emosi saya sedikit terganggu kerana sibuk bekerja tetapi dalam masa yang sama celaru memikirkan keadaan nenek.
“Sejujurnya, saya tidak mendapat rehat yang secukupnya selepas pulang ke kampung menziarahi nenek tempoh hari,” ujarnya.
Emosinya mudah terusik dan terganggu apabila tidak cukup rehat, namun tidak semua orang faham apa yang sedang dilalui Zizan ketika ini.
“Mahu atau tidak, saya terpaksa pujuk hati sendiri. Adakala, saya penat memikirkan bila orang nak faham keadaan saya dan cuba sedaya upaya kuatkan hati sendiri.
“Orang ingat apabila bergelar seorang pelawak, saya boleh bergurau setiap masa. Jadi, saya harap semua faham mengapa baru-baru ini situasi saya tidak okey,” katanya lagi.
Bercerita lanjut mengenai kesihatan neneknya, Zizan berkata, doktor mengesyaki wanita berusia lebih 80 tahun itu menghidap kanser.
“Setakat ini, belum dapat dipastikan kerana mereka masih melakukan ujian. Jika soal lain saya tak kisah, tetapi apabila membabitkan nenek, hati saya berkecamuk.
“Dia sudah berusia lebih 80 tahun, ia menambahkan kerisauan saya dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, pelantun lagu Berserah itu pernah berkongsi sekeping foto dalam Instagramnya mengenai keadaan kesihatan neneknya yang semakin uzur sehingga terpaksa bergegas pulang ke kampung halamannya di Dungun, Terengganu.
Zizan juga meminta para peminat untuk terus mendoakan kesihatan neneknya agar kembali sihat seperti sediakala.