Oleh SHAARANI ISMAIL
KAMPAR – Perak sudah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk memberikan kebenaran kepada pelancong yang berkunjung ke pulau bebas cukai Pangkor menikmati kelebihan pembelian barangan bebas cukai dalam tempoh 24 jam berbanding 48 jam ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, permohonan itu sudah pun dibuat kerajaan negeri kira-kira dua bulan lalu dan masih menunggu perkembangannya.
“Kerajaan negeri dah buat permohonan supaya syarat penginapan dilonggarkan kepada hanya 24 jam sahaja tetapi masih belum mendapat keputusan,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Beliau mengulas saranan dan cadangan yang disuarakan pengusaha dan peniaga di pulau berkenaan supaya tempoh masa penginapan dapat disingkatkan daripada 48 jam kepada 24 jam bagi merancakkan sektor perniagaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada P. Ramasamy yang menghidap spondylosis di kediamannya di Malim Nawar dekat sini hari ini. Hadir sama, Pengarah PERKESO Perak, Anthony Arul Dass. – K! ONLINE