LIVERPOOL – Pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa memuji aksi yang ditampilkan barisan pemainnya meskipun tewas 3-4 kepada juara bertahan, Liverpool pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Leeds yang kembali ke pentas tertinggi bola sepak England dalam tempoh 16 tahun langsung tidak menunjukkan perasaan takut pada perlawanan itu apabila berjaya membuatkan The Reds tidak senang duduk.
Bielsa mengakui Liverpool bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan, namun beliau tetap gembira memandangkan barisan pemainnya berjaya menghalang pasukan tuan rumah itu menampilkan aksi sebenar.
“Liverpool adalah sebuah pasukan yang sangat baik dan amat sukar untuk kami ambil kesempatan ke atas mereka. Kami berdepan kesukaran pada separuh masa kedua untuk melancarkan serangan.
“Bagaimanapun, kami berjaya halang mereka daripada bermain seperti biasa. Saya yakin kami berada sebaris dengan mereka pada perlawanan ini,” kata Bielsa.
Sementara itu, penyerang The Whites, Patrick Bamford berkata, mereka tetap kecewa dengan kekalahan itu memandangkan Leeds berpeluang untuk mencuri tiga mata.
“Keputusan ini positif untuk pasukan tetapi semua pemain kecewa kerana gagal menang. Kami cipta banyak peluang serta bermain dengan bertenaga,” luah Bamford. – AGENSI