Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang bersiap siaga sepenuhnya menghadapi fenomena air laut pasang besar yang diramal berlaku di 11 lokasi berisiko pada Sabtu dan Ahad ini.
Ketua Sektor Operasi APM Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, seramai 19 anggota termasuk pegawai akan ditempatkan di semua lokasi berisiko dinaiki air akibat fenomena tersebut.
Katanya, ini termasuk kawasan sekitar Kapar, Pelabuhan Klang, Pulau Ketam dan Pelabuhan Utara.
“Fenomena itu dijangka berlaku bermula pada pukul 7.16 pagi dengan paras air laut mencecah setinggi 5.7 meter (m).
“Selain jentera lori dan ambulans, sebanyak tiga bot termasuk satu bot amphibia akan digunakan untuk membawa semua mangsa ke pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Klang di sini, hari ini.
Menurut beliau, empat pusat pemindahan akan dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang dan Sekolah Rendah Agama Batu 4, Jalan Kapar.
Tambah Muhammad Najib, APM yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah turut akan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang operasi membantu dan menyelamat.
“Justeru, kita menasihatkan penduduk di lokasi berisiko tidak terlalu panik dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa berhubung ramalan cuaca serta arahan pihak berkuasa termasuk di media sosial.
“Selain itu, mereka perlu memastikan bekalan air bersih dan makanan mencukupi bagi menghadapi fenomena tersebut,” jelasnya.
Selain Klang, empat lagi daerah adalah melibatkan Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang diramal dilanda fenomena air laut pasang itu bermula bulan ini sehingga November depan. -K!ONLINE