NEW YORK – Pemain pilihan kelima, Alexander Zverev mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan wakil dari Sepanyol, Pablo Carreno Busta dengan kemenangan 3-6, 2-6, 6-3, 6-4, 6-3 pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Zverev dilihat hampir tersingkir daripada kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas ketinggalan dua set tetapi berjaya meraih kemenangan pada tiga set berikutnya untuk mara ke final Grand Slam pertama dalam kariernya.
Kata Zverev, aksi yang dipamerkan pada dua set pertama sangat teruk dan tidak setaraf dengan harapan tinggi yang diletakkan ke atas bahunya selaku pemain kegemaran untuk menang kejuaraan Terbuka AS tahun ini.
“Selepas dua set, saya kembali mencari motivasi untuk diri sendiri kerana keputusan ternyata tidak memihak kepada saya sedangkan saya adalah pemain pilihan pada perlawanan ini.
“Saya bersyukur misi mustahil berjaya direalisasikan dan kini saya mahu fokus untuk aksi final Grand Slam pertama saya esok. Secara keseluruhan, saya belum boleh mendabik dada lagi,” katanya.
Sementara itu, Busta mengakui tidak boleh menerima kekalahan itu terutama selepas memiliki kelebihan dua set tetapi itulah lumrah perlawanan yang membuatnya perlu bekerja lebih keras selepas ini.
“Saya rasa tidak cukup sekadar melangkah ke pusingan separuh akhir tetapi inilah lumrah sukan ada yang menang dan kalah. Saya tidak bernasib baik terutama dengan cara bagaimana saya boleh tewas tetapi saya perlu terima,” katanya. – AGENSI