LONDON – Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane menganggap musim ini adalah peluang terbaik buat mereka menamatkan penantian bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 1992.
Kali terakhir Spurs merangkul kejuaraan liga domestik ketika saingan EPL masih lagi menggunakan nama Divisyen Satu pada musim 1960-1961.
Sehubungan itu, Kane, 27, menegaskan, Spurs perlu menewaskan Everton pada aksi pertama saingan EPL musim ini di Stadium Tottenham Hotspur malam esok bagi merealisasikan impian tersebut.
“Kami perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan Spurs sentiasa berada pada landasan tepat dalam usaha menjuarai saingan EPL musim ini walaupun ia tidaklah semudah yang disangka.
“Kami ada peluang untuk melakukannya dengan kehadiran beberapa pemain baharu musim ini. Kami sebenarnya sudah semakin hampir dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Satu sejarah baharu buat kami jika berjaya memenangi EPL. Dalam masa sama, kami juga menyasarkan untuk memenangi trofi-trofi lain,” katanya.
Spurs telah memperkuatkan pasukan mereka dengan mendapatkan khidmat bekas kapten Southampton, Pierre-Emile Hojbjerg, Matt Doherty dari Wolverhampton Wanderers dan pemenang dua EPL, Joe Hart.
Sebagai rekod, Spurs meraih tempat kedua di belakang Chelsea tiga tahun lalu. – AGENSI