KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal sambil mempamerkan aksi berbahaya di Jalan Kuching di sini akhirnya mengundang padah apabila dia kini menjadi buruan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya dimaklumkan tentang satu klip video yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp pada 9 September lalu memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya.
“Video klip berkenaan memaparkan seorang lelaki menunggang motsikal jenis Honda secara berbahaya dengan meletakkan kedua-dua belah kakinya di ‘handle’ motosikal sambil kedua-dua belah tangannya sedang memegang bungkusan air.
“Berdasarkan papan tanda yang dapat dilihat di dalam rakaman tersebut, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Kuching menghala ke Batu Caves,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal itu mendapati ia dimiliki oleh seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang menetap di Selayang dan tinjauan ke lokasi turut menemui motosikal tersebut di kawasan parkir premis terbabit.
“Apabila pasukan serbuan pergi ke rumah berkenaan dan berjumpa warga emas itu itu, mereka dimaklumkan bahawa motosikal berkenaan digunakan oleh anaknya berusia 36 tahun yang pada masa tersebut tiada di rumah.
“Susulan itu, anggota bertugas telah bertindak merampas motosikal berkenaan dan meneruskan usaha mengesan suspek bernama M.Thiruvarasu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau.
Terdahulu, satu klip video berdurasi 41 saat tular di laman sosial Facebook memaparkan aksi bahaya seorang lelaki menunggang motosikal sambil meletakkan kedua-dua kakinya ke ‘handle’ motosikal.
Video tersebut bagaimanapun menerima bertubi-tubi kecaman daripada netizen yang turut menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap lelaki berkenaan. – K! ONLINE