fbpx

Pasangan doktor berkhalwat dipenjara seminggu, didenda RM2,700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Padah mengikut nafsu, pasangan doktor yang berkhalwat dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman semalam.

Hakim Syarie Mohd. Fakhruddin Yusof memerintahkan demikian selepas kedua-dua doktor muda berusia 27 dan 26 tahun tersebut membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan tersebut didakwa berkhalwat di sebuah rumah di Mak Chili, Kemaman pada pukul 12.30 tengah hari, 16 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, sewaktu membacakan penghakimannya, Mohd. Fakhruddin mengingatkan pasangan kekasih berkenaan perbuatan mereka yang menghampiri zina amat terkutuk dan menyalahi etika mereka sebagai pegawai perubatan.

“Kamu berdua bekerja dalam bidang perubatan. Macam mana hendak mengubati orang sakit, soal hidup dan mati orang, kalau pegawai perubatan sendiri tak tahu dosa pahala, tak ada kredibiliti dan integriti?

“Kalau tidak boleh tahan nafsu, kahwin. Kalau wali tidak izinkan, mohon wali hakim di mahkamah bukan memilih cara berzina,” katanya di sini semalam.

Mohd. Fakhruddin juga berharap hukuman tersebut dapat memberi pengajaran kepada dua doktor berkenaan dan orang awam kerana perbuatan zina dipandang serius oleh Islam sehinggakan boleh dihukum mati bagi orang berkahwin dalam hukum hudud.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Mustafar Hamzah. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI