fbpx

Kerajaan digesa bina kelubung air baharu atasi banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (kiri) meninjau laluan utama merentasi Sungai Selinsing di Kampung Baru Nalla Tronoh yang sering dinaiki air akibat hujan lebat hingga mengakibatkan banjir kilat.

Oleh SHAARANI ISMAIL

BATU GAJAH – Pihak berwajib diminta untuk menyegerakan pembinaan kelubung air baharu bagi menggantikan kelubung air sedia ada di Sungai Selinsing yang melalui jalan utama Kampung Baru Nalla dekat sini.

Kelubung berkenaan yang sudah sekian lama dibina dan bersaiz kecil tidak lagi mampu menampung jumlah air yang besar terutama ketika hujan lebat berpanjangan hingga mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekitar.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, masalah itu bukan baharu malah sudah beberapa kali dibangkit sejak beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh sejak 2008 sehinggalah bertukar ke kerusi Parlimen pada 2013.

“Saya sudah bawa masalah ini ke Sidang Dewan Undangan Negeri ketika menjadi ADUN Tronoh tetapi tiada penyelesaian, saya juga sudah suarakan masalah ini ke Parlimen, pegawai daerah juga maklum akan masalah ini dan memberi jaminan ia akan diselesaikan.

“Ada cadangan supaya dibina jambatan merentangi sungai berkenaan tetapi ia perlu memerlukan kos yang tinggi selain akan menyukarkan penduduk.

“Langkah terbaik adalah dengan menukar kelubung sedia ada yang merentasi sungai dengan kelubung yang lebih besar bagi mengelak masalah berulang,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Nalla dekat sini hari ini.

Katanya, kelubung berkenaan tidak dapat menampung jumlah air yang besar ketika hujan lebat ditambah lagi jika ia membawa bersama sampah yang akan menyekat laluan dan mengakibatkan air melimpah.

Beliau berkata, laluan utama itu bukan sahaja digunakan oleh penduduk Kampung Baru Nalla tetapi juga beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Kurnia dan Kampung Serkai Jadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI