KUALA LUMPUR – Peluang Kedah untuk beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan kembali cerah selepas berjaya merampas kedudukan kedua Liga Super menerusi kemenangan 2-1 ke atas Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang semalam.
Kejayaan itu hadir selepas Terengganu FC jatuh ke tangga keempat ekoran kekalahan 0-1 kepada juara bertahan yang juga pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Mizan Zainal, Kuala Terengganu kelmarin.
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bangga dengan kejayaan anak-anak buahnya bangkit memenangi perlawanan itu selepas ketinggalan satu gol kepada Felda United menerusi jaringan Muhammad Syahmi Zamri dalam babak pertama.
“Saya melakukan sedikit perubatan taktikal pada separuh masa kedua dengan meletakkan Alex (Azamuddin Mohd. Akil) untuk membantu bahagian serangan. Para pemain bekerja keras untuk memastikan kami berjaya meraih tiga mata.
“Bagi saya, kami berhak meraih kemenangan ini kerana kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol terutama pada separuh masa kedua,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Skuad Helang Merah bangkit memenangi perlawanan itu dengan dua gol dalam separuh masa kedua menerusi jaringan cantik Kipre Tchetche dan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-47 serta 27.
Jika mahu terus mencerahkan peluang beraksi pada Piala AFC tahun depan, Kedah perlu menang baki empat perlawanan musim ini bermula aksi menentang Sabah di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini diikuti Pahang, Melaka United dan Perak. K! ONLINE