KUALA LUMPUR – Langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk bergelar juara buat kali ketujuh berturut-turut Liga Super semakin sempurna apabila meraih kemenangan penting 1-0 ke atas pencabar utama, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin melalui jaringan tunggal Safawi Rasid pada minit ke-5.
Berbekalkan enam mata meninggalkan pencabar utama, Kedah di tangga kedua, JDT hanya perlu mencari minimum tujuh mata daripada baki empat perlawanan bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak musim 2014.
Namun, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, tidak mahu sudah terlalu selesa kerana apa sahaja boleh berlaku pada empat perlawanan akan datang dan sasarannya adalah cuba menang dari satu ke satu perlawanan.
Jelasnya, tiap perlawanan pasti menjanjikan kesukaran kerana semua pasukan memburu seberapa banyak mata dan tiada sebarang jalan mudah buat JDT jika mahu menggapai kejuaraan CIMB Liga Super.
“Kami hanya fikirkan dari perlawanan ke perlawanan dan cuba meraih seberapa banyak kemenangan kerana dalam ada masanya boleh berlaku kejutan tanpa diduga dalam liga.
“Dalam situasi sekarang, semua pasukan hendak menang dan itu kami perlu cuba lalui jika mahu menjuarai liga sekali lagi pada musim ini.
“ Prestasi pasukan berdepan Terengganu buatkan saya cukup gembira kerana gawang kami tidak dibocori dan permainan kami baik walaupun Terengganu berjaya berikan tekanan yang cukup baik kepada kami.
“Saya juga ucapkan syabas kepada Terengganu kerana mempamerkan peningkatan berbanding musim lalu dan aksi bola sepak yang kian berkualiti, sememangnya saya berpuas hati kerana pemain saya dapat meraih tiga mata penting di laman lawan yang sukar, ” katanya.
JDT mengumpul 19 mata selepas tujuh perlawanan dengan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan skuad Harimau Selatan itu akan bertemu Selangor pada 19 September di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Sementara itu, Kedah terus konsisten sejak Liga Super bersambung pada 28 Ogos lalu apabila meraikan kemenangan buat kali ketiga berturut-turut, dengan menundukkan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang semalam. – K! ONLINE