Oleh ASLIZA MUSA
KAMPAR – Seorang pendaki wanita berhadapan detik cemas apabila dia cedera pada pergelangan kaki dan lutut setelah tergelincir ketika menuruni Gunung Bujang Melaka dekat sini semalam.
Junaidah Mohamad, 37, yang dalam keadaan separa sedar itu bagaimanapun diselamatkan oleh pasukan bomba dalam operasi yang dijalankan awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Meor Mohammad Ali Meor Hussin berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada pukul 12.16 tengah malam.
Katanya, ketika ditemui mangsa yang cedera di kaki itu dalam keadaan keletihan dengan ditemani lima rakan pendaki lain.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa mendaki Gunung Bujang Melaka itu pagi semalam namun semasa hendak turun pada sebelah petang, dia tergelincir dan cedera.
“Mangsa yang kesakitan cuba menuruni gunung berkenaan namun gagal ekoran hari hujan sebelum menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi membawa turun mangsa segera dijalankan namun berdepan kesukaran ekoran laluan yang sempit dan licin disebabkan hujan.
Katanya, rawatan awal diberikan kepada wanita itu sebelum dia dibawa turun menggunakan pengusung dan seterusnya dihantar ke Hospital Kampar menaiki van Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Gopeng untuk rawatan lanjut.
“Operasi menyelamatkan mangsa disertai 10 anggota BBP Kampar dan dua orang dari BBP Gopeng. Operasi mengambil masa empat jam dan tamat pada pukul 6.12 pagi,” katanya. K! ONLINE