MILAN – AC Milan berjaya menjual penyerang mereka, Andre Silva ke kelab Bundesliga, Eintracht Frankfurt dengan membuat pertukaran ‘suka sama suka’ bagi mendapatkan khidmat Ante Rebic.
Sebagai rekod, Silva telah dipinjamkan kepada Frankfurt pada tahun lalu manakala Rebic pula diarahkan ke Milan dengan mengikat perjanjian selama dua tahun.
Namun, kedua-dua pasukan berpuas hati dengan prestasi penyerang yang dipinjamkan itu sekali gus membuat keputusan untuk menandatangani Rebic dan Silva secara tetap.
Pengarah Sukan Frankfurt, Fredi Bobic percaya dengan kualiti yang dimiliki oleh Silva yang dianggap sebagai penyerang kedua terbaik di Bundesliga selepas Robert Lewandowski pada saingan musim lalu.
“Silva telah menunjukkan kepada kami kenapa bakatnya menjadi perhatian sejak usia remaja dan saya sangat berbangga apabila dia berminat untuk menandatangani kontrak secara kekal bersama pasukan.
“Secara jujur, dia telah meledak banyak gol dan saya percaya prestasinya akan meningkat pada saingan musim baharu nanti. Keputusan untuk memberi kontrak sehingga 2023 adalah sesuatu yang tepat,” kata Bobic.
Sebagai rekod, Silva yang merupakan penyerang antarabangsa Portugal telah dibeli oleh Milan pada tahun 2017 dengan nilai perpindahan sebanyak €38 juta (RM186.9 juta) tetapi gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.
Silva yang berusia 25 tahun menyerlah dengan Frankfurt selepas meledak 16 gol pada aksi musim lepas. – AGENSI