Oleh MOHD RAFIE AZIMI
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di daerah Kota Setar yang bermula semalam diakui sedikit sebanyak memberi kesan terhadap skuad Helang Merah.
Menurut pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak, beberapa perkara perlu diberi perhatian memandangkan kebanyakan pemain serta jurulatih tinggal di kawasan terlibat dengan PKPD.
“Begitu juga dengan Stadium Sultan Abdul Halim yang menjadi tempat kami berlatih dan Stadium Darul Aman yang menjadi gelanggang utama untuk aksi Liga Super.
“Setakat ini, kami belum memperoleh apa-apa maklumat memandangkan pelaksanaan PKPD baru diumumkan semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) sebelum menaiki penerbangan untuk aksi menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.
Aidil Sharin berkata, pihaknya berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat memberikan kata putus terhadap beberapa perkara dalam masa terdekat bagi memudahkan perancangan.
“Saya juga berharap agar latihan pemain tidak terjejas ketika momentum dan moral pasukan berada pada tahap terbaik.
“Sudah tentu faktor keselamatan dan kesihatan menjadi keutamaan dan jika terpaksa berlatih di luar Kota Setar pun tidak mengapa asalkan sesi latihan tidak terganggu,” katanya.
Aidil Sharin juga memohon MFL supaya dapat memutuskan sama ada perlawanan menentang Sabah di Stadium Darul Aman minggu depan akan diteruskan atau sebaliknya.
Aidil Sharin bagaimanapun menambah, fokusnya pada pasukan tidak terganggu di sebalik pelbagai spekulasi mengenai masa depannya bersama Helang Merah.
“Apa jua diperkatakan Presiden KFA, saya tetap hormat beliau. Sebagai seorang profesional, saya menyanjung kontrak ditandatangani serta akan terus melakukan yang terbaik untuk pasukan.
“Pada akhirnya saya merasakan lebih baik untuk kami duduk bersama dan bercakap hati ke hati daripada memberi reaksi kepada media. Saya hormat beliau sebagai presiden dan akan memberi 100 peratus kepada pasukan,” katanya.