MISANO – Pelumba pasukan Avintia Ducati, Johann Zarco berkata, dia perlu menunggu beberapa perlumbaan lagi sebelum diberikan keputusan berhubung siapa yang akan dibawa masuk ke pasukan utama Ducati musim depan.
Pelumba dari Perancis itu mengakui dia kini sedang bersaing dengan pelumba pasukan Pramac Racing, Francesco Bagnaia bagi mengiringi Jack Miller dalam pasukan Ducati.
Zarco berkata, Ducati memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat penilaian memandangkan Bagnaia tidak boleh berlumba kerana masih belum cergas.
“Ducati perlukan masa untuk tentukan siapa yang akan dibawa masuk sama ada saya ataupun Pecco (Bagnaia) kerana dia masih cedera, jadi alasan mereka masuk akal.
“Saya tidak mahu terlalu fokus untuk mengatasi Pecco kerana tidak ada guna jika kami tamatkan perlumbaan di kelompok pertengahan. Sudah tentu ia seperti bencana buat Ducati,” kata Zarco.
Pada masa sama, dia juga tidak menolak kemungkinan akan menunggang jentera Pramac musim depan selain mengakui prestasi Pramac hampir sama dengan pasukan Ducati.
“Jentera pasukan Pramac dan pasukan Ducati hampir sama, jadi kedua-dua pasukan ini masih berada dalam pilihan saya. Bagaimanapun, saya sentiasa mencabar kedudukan podium dan mencari kedudukan terbaik, maka saya layak untuk ke pasukan Ducati,” ujarnya. – AGENSI